Almarhum TG Nik Aziz : Jika orang PAS yang minta salib itu diturunkan, tolong letakkannya semula

Almarhum TG Nik Aziz : Jika orang PAS yang minta salib itu diturunkan, tolong letakkannya semula

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong PAS Hu Pang Chaw mengimbas kembali satu lagi insiden berkenaan lambang itu melibatkan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut sumber Malaysiakini, beliau berkata pejabat Nik Aziz ketika menjadi menteri besar Kelantan terletak bertentangan dengan Gereja Our Lady of Fatima of the Holy Rosary di Kota Bharu.

“Dulu saya bekerja di pejabat kerajaan negeri dari tahun 2000 hingga 2004. Saya yang mengendalikan isu itu tetapi tidak ingat secara tepat bila ia berlaku.

“Pada satu pagi, seorang anggota exco hubungi saya. Dia beritahu saya yang Tok Guru (Nik Aziz) sedar lambang salib sudah tiada di bumbung gereja dan mahu tahu apa yang berlaku.

“Exco itu kata Nik Aziz memberitahunya jika orang PAS yang minta salib itu diturunkan, tolong letakkannya semula (di bumbung). Jadi exco itu tanya saya apa yang terjadi,” katanya.

Loading...

Beliau berkata bekas mursyidul am PAS itu perlu melakukan pusingan U di depan gereja itu untuk ke pejabatnya.

“Saya fikir dia mesti perasan yang salib itu sudah tiada,” katanya lagi.

Hu yang kini bersama Amanah – parti serpihan PAS – berkata beliau kemudian bertanya kepada pihak gereja tentang perkara itu.

“Saya diberitahu salib itu diturunkan buat sementara untuk kerja penambahbaikan kerana bumbung bocor dan akan dipasang semula apabila kerja itu selesai.”

Insiden itu juga disebut seorang bekas guru besar di Kelantan, Jerome Fernandez, dalam sebuah artikel yang diterbitkan semula di akhbar Katolik, Herald, pada Mac 2015, sebulan selepas kematian Nik Aziz.

Dalam artikel bertajuk “The Tok Guru I Knew” (Tok Guru yang saya kenali), Fernandez berkata Nik Aziz memberitahu pihak gereja bahawa pejabat menteri besar akan menanggung kos penambahbaikan.

Beliau juga berkata Nik Aziz ada bertanya sama ada vandalisme menjadi punca kerosakan.

“Satu hari paderi terima panggilan daripada pejabat menteri besar. Pegawai berkata Tuan Guru sedar salib di bumbung gereja sudah tiada.

“Paderi berkata ia bukan kerana vandalisme. Salib itu jatuh kerana ribut pada malam sebelumnya,” katanya.

Artikel itu berkata lagi, selepas berbincang dengan Nik Aziz, pegawai itu berkata: “Menteri besar mahu gereja gantikan salib dan hantar bil ke pejabat menteri besar untuk pembayaran. Menteri besar merasakan sebagai ketua kerajaan beliau bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.”