Menteri tidak abaikan kebajikan nelayan

Menteri tidak abaikan kebajikan nelayan

Kerajaan sedia menimbang cadangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menyediakan insentif kepada nelayan yang mengusahakan penternakan ikan dalam sangkar di laut dalam.

Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada masa sama menjelaskan, pihaknya akan mengkaji bantuan-bantuan sewajarnya yang boleh disalurkan untuk tujuan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, NEKMAT juga perlu mengemukakan cadangan yang berkesan kepada kementerian termasuk model-model terbaharu yang boleh dijadikan rujukan untuk membantu mereformasikan industri perikanan melibatkan golongan nelayan.

“Saya tiada masalah tentang cadangan NEKMAT itu, kerana mereka lebih faham dalam dunia mereka. Mereka pun menjadi payung kepada seluruh nelayan. Kalau itu suatu yang dilihat boleh memberikan nilai tambah kepada interaksi itu, saya akan melihat apakah bantuan-bantuan yang sewajarnya yang boleh kita berikan kepada NEKMAT.

“Mereka kena keluarkan model yang mungkin telah berjaya di negara lain. Tentang bagaimana sangkar-sangkar ini boleh diwujudkan di dalam kawasan periran laut dalam. Ini penting untuk kita pastikan bekalan ikan kita cukup,” katanyaseperti dipetil Astro AWANI selepas rakaman program Analisis AWANI pada Rabu.

Loading...

Setakat ini, katanya, Malaysia boleh dianggap sudah berjaya dalam industri akuakultur memandangkan ia telah dapat memenuhi pasaran dalam dan luar negara.

“Ikan seperti kerapu, jenahak,siakap dan ikan merah adalah antara industri mendapat sambutan dan tiada masalah pasaran kerana cukup masa mereka boleh jual ke negara luar,” ujar beliau.

Bagaimanapun, negara masih perlu belajar bagi sektor penternakan ikan dalam sangkar di laut dalam dengan negara-negara yang mempunyai kepakaran seperti New Zealand.

“Mungkin dari segi latihan teknologi akan kita pastikan industri ini diberi kefahaman dengan memberi pengetahuan kepada orang muda dan siswazah. Kementerian saya akan pastikan pelan pengukuhan kita akan beri mereka bantuan yang secukupnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap usaha memodenkan industri perikanan mencapai matlamat dengan membekalkan pengetahuan secukupnya kepada orang muda.

“Saya yakin bila anak muda dibekalkan dengan pengetahuan, saya yakin kita boleh bergerak dengan pantas untuk memajukan sektor pertanian dan perikanan dalam negara kita,” ujarnya.

Berita Asal: https://malaysiadateline.com/kerajaan-sedia-kaji-beri-insentif-nelayan-ikan-dalam-sangkar-di-laut-dalam/