Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis lagi

Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis lagi

Lembaga Tabung Haji telah membuat laporan polis berhubung penyata kewangan 2017 dan pengagihan hibah oleh pengurusan kanan entiti itu yang melanggar Akta Tabung Haji 1995 di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Ini merupakan laporan polis ketiga yang dibuat oleh pengurusan baharu Tabung Haji selepas mereka memasuki pejabat sejak Julai lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Tabung Haji berkata, ia telah mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah pada dua mesyuarat khas lembaga pengarah pada 6 dan 9 Februari tahun lepas.

Kertas kerja eksekutif itu telah disediakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Datuk Rozaida Omar dan disokong Datuk Seri Johan Abdullah yang ketika itu adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tabung Haji.

“Kertas kerja eksekutif itu mengandungi kenyataan dan bukti yang telah menyebabkan berlakunya angka tidak tepat di dalam penyata kewangan yang telah diterima oleh lembaga pengarah.

Loading...

“Berdasarkan kenyataan kewangan itu, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji telah membuat cadangan kepada menteri bertanggung jawab untuk meluluskan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 4.5 peratus untuk hibah tahunan dan 1.75 peratus bagi hibah haji,” katanya seperti dipetik MG.

Penyata kewangan telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 telah ditandatangani pada 3 April 2018 oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ketika itu memegang jawatan pengerusi dan Johan yang mewakili lembaga pengarah.

Manakala Rozaida pula menandatangani penyata kewangan tersebut selaku pegawai bertanggung jawab terhadap pengurusan kewangan dan rekod perakaunan Tabung Haji.

Berita Asal : https://malaysiadateline.com/tabung-haji-buat-laporan-polis-ketiga/