Isu salib urusan kerajaan negeri, Mujahid setuju saranan mufti

Isu salib urusan kerajaan negeri, Mujahid setuju saranan mufti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menyifatkan tindakan kerajaan Pulau Pinang sudah memadai dalam isu pangsapuri yang didakwa memaparkan lambang salib besar di negeri itu.

Justeru beliau berkata semua pihak tidak perlu terus mensensasikan isu itu sehingga memburukkan lagi keadaan.

Tambahan pula, katanya lagi, Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga telah meminta kerajaan negeri dan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) menyelesaikan isu itu.

“Isu itu membabitkan soal bangunan dan ia jelas adalah urusan kerajaan negeri namun di pihak kerajaan persekutuan, tindakan yang mereka ambil dikira sudah mencukupi.

“Jadi saya nasihatkan kepada semua pihak supaya jangan sensasikan isu terbabit hingga membawa perkara-perkara lain yang boleh menimbulkan kepada kebencian,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Loading...

Pada masa sama, beliau berpesan agar pihak pemaju lebih sensitif dalam perkara ini.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan semalam menyifatkan Mujahid tidak tegas dan berdolak-dalik dalam mengendalikan isu itu.

Ia selepas Mujahid dilaporkan berkata masih menunggu laporan daripada kerajaan negeri dan pejabat mufti Pulau Pinang.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan mereka sedang menunggu maklum balas daripada pemaju dan laporan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.

Hari ini Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan mengarahkan MBPP agar menyiasat perkara itu.