Suspek berumur 47 tahun yang sebelum ini mendakwa dia memiliki kekayaan di negara ini serta mempunyai kaitan dan kepentingan di beberapa negara lain itu ditahan pada Ahad lalu, sehari selepas mengadakan sidang akhbar di sebuah kem modal insan di Sungai Rambai.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, suspek ditahan oleh pasukan khas diketuainya kira-kira pukul 3 petang susulan satu laporan polis dibuat Ketua Balai Polis Sungai Rambai berhubung sidang akhbar berkenaan.

“Dalam sidang akhbar dihadiri 100 pengikut itu, suspek yang mendakwa dirinya pemerintah keseluruhan Malaysia turut mempamerkan beberapa barangan artifak dikatakan milik diraja sebagai bukti beliau merupakan pemerintah sah.

“Berikutan laporan yang telah dibuat, polis menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan merampas kesemua artifak digunakan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Loading...

Katanya, antara yang dirampas ialah 10 bilah keris, sebatang tombak, lapan bilah pedang, satu dulang tembaga dan satu jade bersalut tujuh gambar naga.

Tambahnya, pihak polis turut merakam percakapan percakapan 20 individu pertubuhan itu bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati dia mempunyai empat rekod lampau di bawah kesalahan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di Perak,” katanya.