Kenapa Melaka naikkan tarif air masa ini

Kenapa Melaka naikkan tarif air masa ini

Rata-rata rakyat di negeri ini tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Melaka yang ingin menaikkan tarif air kerana ia dilihat sebagai tidak kena pada masanya ketika rakyat sedang menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Seorang jurutera Mohd Fadzli Mohd Fadzal, 34, berkata kenaikan tersebut hanya akan menambahkan lagi beban berikutan rakyat sedang dihimpit pelbagai kenaikan kos sara hidup termasuk barang keperluan dan makanan.

Beliau berkata langkah itu juga memperlihat betapa tahap pengurusan bekalan air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) masih kurang cekap dan amalan tadbir urusnya pula kurang memuaskan  menyebabkan syarikat itu ‘memindahkan’ beban kenaikan kos pengurusan untuk ditanggung oleh rakyat.

“Masih terdapat banyak lagi aduan rakyat yang kurang mendapat respons (maklum balas) daripada SAMB sekali gus mengakibatkan tahap keyakinan pengguna agak goyah dan pastinya mereka enggan membayar lebih.

“Sepatutnya SAMB dan pihak terlibat mencari jalan untuk menguruskan kenaikan kos itu supaya rakyat yang kini dihimpit dengan peningkatan kos sara hidup tidak menanggung kenaikan kos pengurusan air tersebut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Loading...

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri akan menaikkan kadar tarif air bagi menampung kos pengurusan dan penyelenggaraan bekalan air di negeri ini, namun kadar kenaikan itu sedang dalam kajian dan perbincangan.

Adly bagaimanapun memberi jaminan bahawa peningkatan kos tersebut tidak akan membebankan rakyat apabila memberikan insentif kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan rakyat yang melakukan kaedah penjimatan penggunaan air.

Mohd Fadzli, bapa kepada dua orang anak itu berkata peningkatan kadar tarif tersebut perlu diterjemahkan seiring dengan mutu perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembangunan prasarana bekalan air dan bukan dinaikkan bagi menampung kos pengurusan semata-mata.

“Sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menaikkan kadar, maka pihak terbabit perlu terus komited memperkasa perkhidmatan secara efektif kepada rakyat, barulah rasa berbaloi,” katanya yang tinggal di Lipat Kajang dekat sini.

Seorang suri rumah Nurnadiah Ali, 33, berkata dia berasa terkesan dengan tindakan menaikkan caj tarif berkenaan selain khuatir bakal mencetuskan fenomena kenaikan harga barangan rentetan kenaikan tersebut.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata kebiasaannya apabila berlaku kenaikan barangan atau pun caj perkhidmatan, pastinya akan ada pihak tertentu yang ‘berlumba-lumba’ menggunakan alasan berkenaan untuk menaikkan harga barangan mereka terutama harga minuman.

“Kita khuatir mereka yang tak berkaitan pun sengaja ambil kesempatan. Justeru, saya berharap agar kerajaan negeri dapat mengkaji secara menyeluruh dan melakukan kajian terperinci berhubung isu ini bagi mengelakkan penduduk terkesan sehingga menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

“Bagaimanapun, sedikit sebanyak saya berasa lega apabila kerajaan negeri tidak meminggirkan golongan yang kurang berkemampuan seperti kami dengan menawarkan insentif kepada golongan B40,” katanya yang tinggal di Taman Kesang Damai dekat sini.

Seorang penjawat awam Nor Ashikin Ahmad, 28, berkata pengumuman tersebut disifatkan sebagai tidak kena pada waktunya yang mana golongan ibu bapa baru saja berdepan ‘azab’ menguruskan persiapan persekolahan anak-anak mereka termasuk pakaian, kelengkapan alat tulis dan yuran.

“Baru sahaja rakyat nak berasa lega sedikit berikutan harga petrol dah turun, tiba-tiba dikejutkan dengan berita kenaikan tarif air pula yang pastinya akan memberi tekanan kepada ekonomi isi rumah.

“Namun, pada masa yang sama, kenaikan tarif air ini dapat memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat negeri ini agar berjimat dalam menggunakan air sekali gus membendung sikap pembaziran bagi memperoleh insentif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri,” katanya yang tinggal di Asahan.