Hukuman mati: Rahim Noor cadang adakan referendum

Hukuman mati: Rahim Noor cadang adakan referendum

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor mencadangkan satu referendum diadakan sebelum keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Beliau berkata ia adalah keputusan penting yang harus diteliti semula oleh kerajaan.

“Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pemansuhan hukuman mati ini…saya merayu kerajaan meneliti semua perkara ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pemansuhan hukuman mati akan memberi pelbagai impak antaranya meninggalkan kesan dari segi emosi kepada keluarga mangsa.

Pada 13 Nov lepas, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...

Bernama sebelum ini melaporkan rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dan Jabatan Peguam Negara kini dalam peringkat akhir menyediakan kertas perundangan untuk tujuan berkenaan.

Menurut takwim daripada portal rasmi Parlimen,  sesi Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung dari 11 Mac hingga 11 April 2019.