MIC dan PAS bakal bergandingan bahu di Cameron Highlands?

MIC dan PAS bakal bergandingan bahu di Cameron Highlands?

Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata Barisan Nasional (BN) sanggup melupakan sejarah lama nya dengan PAS dan akan menerima tawaran PAS untuk membantu berkempen kerana kedua-duanya kini berada di posisi yang sama  sebagai pembangkang dan menentang musuh bersama iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Apabila kita berada di dalam kerajaan, kita mempunyai pendapat yang berbeza dengan PAS tetapi sekarang kedua-dua pihak berada dalam pembangkang.

“Kami gembira kerana hubungan kerja kami dengan PAS semakin menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya.

Vigneswaran, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata kerjasama antara MIC dan PAS akan meningkatkan sistem dua parti untuk memastikan tadbir urus yang lebih baik.

“Sekiranya pembangkang tidak kuat, akan ada banyak masalah seperti sekarang di mana kerajaan tidak dapat memenuhi manifesto mereka,” katanya.

Loading...

Portal berita The Malaysian Insight pula memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS sedia menggunakan jentera pilihan raya untuk membantu kempen MIC di Cameron Highlands walaupun mereka tidak berada dalam gabungan yang sama.

Takiyuddin dilaporkan berkata PAS akan menjalankan aktiviti sendiri dan menyelaraskannya dengan MIC untuk membantu mereka mengekalkan kerusi tersebut.

Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarrajah memenangi kerusi Cameron Highlands dalam PRU14, tetapi pencabarnya, M. Manogaran, yang secara tipis kehilangan 597 undi, memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya yang akhirnya memutuskan untuk membatalkan keputusan PRU14 bagi kerusi Cameron Higlands selepas mendapati pengundi telah disogok untuk memihak kepada BN .

Sivarrajah berhasrat untuk bertanding semula dalam PRK kali ini namun Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bahawa dia tidak layak untuk mengundi dan bertanding selama lima tahun.

MIC masih belum menamakan calonnya walaupun empat nama dilaporkan telah disenarai pendek.