2018 : 2 tragedi menyayat hati pihak Bomba

2018 : 2 tragedi menyayat hati pihak Bomba

Tahun 2018 melabuhkan tirai dalam suasana menyayat hati bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila seorang daripada anggotanya sendiri, Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia selepas diserang dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis setelah tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) dan kematiannya menyebabkan rakyat di seluruh negara diselubungi kesedihan dan tidak putus-putus menyampaikan ucapan takziah.

Di samping melahirkan kesedihan yang sangat mendalam menerusi laman Twitter, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Unit Udara JBPM di Pangkalan Airod Sdn Bhd (AIROD), Subang sebelum jenazah wira berusia 24 tahun itu diterbangkan ke kampung kelahirannya di Kuala Kedah untuk dikebumikan.

Yang penting, pemergian Muhammad Adib membuktikan bahawa semangat perpaduan masih kental dalam kalangan rakyat berbilang kaum negara ini yang cintakan keamanan ketika mereka cuba merungkai apa yang berlaku pada hari kejadian sehingga menyebabkan kematiannya.

Pelbagai pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa insiden itu bukan mempunyai unsur agama atau kaum tetapi berunsur jenayah. Polis telah menklasifikasi semula insiden tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...

Dalam pada itu, JBPM turut diuji dengan tragedi lemas enam anggotanya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, pada 3 Okt.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu  Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Meskipun berhadapan dengan situasi sukar kehilangan rakan setugas, anggota Wira Merah terus melaksanakan operasi sehingga mayat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, ditemukan keesokan hari.

Insiden menyayat hati itu merupakan kejadian pertama kehilangan nyawa anggota penyelamat dalam jumlah yang besar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ada keperluan mendesak  untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada susulan kematian anggota bomba  berkenaan akibat terperangkap dalam pusaran air.

Ini, katanya, termasuk mengenal pasti teknik lebih sesuai bagi keadaan pelbagai untuk melancarkan operasi menyelamat dan mengurangkan risiko yang dihadapi anggota bomba.

Dalam pada itu, keperluan jabatan berkenaan turut mendapat perhatian Zuraida yang mengumumkan bahawa 240 balai bomba baharu akan dibina secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Pada masa ini, terdapat 290 balai bomba di seluruh negara dengan kekuatan 14,000 anggota dan pegawai tetap.

Dalam usaha mempertingkat keupayaan pasukan bomba, JBPM turut mendapat perolehan terbaharu berbentuk dua helikopter Agusta AW189 bernilai RM210 juta daripada syarikat Agusta Westland Malaysia Sdn Bhd. Ini menjadikan jumlah keseluruhan helikopter milik bomba kepada sembilan buah.