Tun M tetap pegang janji, PM hanya 2 tahun

Tun M tetap pegang janji, PM hanya 2 tahun

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan pendirian untuk tidak memegang jawatan Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurutnya, beliau tidak akan melanggar janji untuk memegang jawatan nombor satu dalam kerajaan itu selama dua tahun seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Macam-macam orang ada pendapat. Mereka ada pendapat masing-masing. Ramai (perwakilan) yang berdiri.

“Lagipun itu pendapat mereka (perwakilan). Tetapi kena pegang kepada janji,” katanya selepas menghadiri sesi perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai usul beberapa perwakilan negeri Bersatu pagi tadi yang mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU-15.

Loading...