Jangan emosi, orang melayu mesti bijak berpolitik

Jangan emosi, orang melayu mesti bijak berpolitik

Pembangkang suatu masa dahulu melaungkan slogan matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRU14 yang lepas. Ternyata apabila kempen tersebut gagal memenangkan mereka, mereka beralih kepada kempen perkauman dan sentimen agama. Hampir semua isu yang berlaku selepas PRU 14 akan diheret kepada isu perkauman dan sentimen agama. Sehinggakan pendedahan salahtadbir pengurusan Tabung Haji juga cuba diheret sebagai usaha menjatuhkan maruah Islam.

Kini, setiap laungan sentimen melayu Islam akan berakhir dengan menganggap semua kesalahan ini berpunca dari DAP. DAP adalah “punching bag” yang amat lumayan buat pemimpin-pemimpin ini untuk menakutkan ahli-ahli dan penyokong mereka agar tidak lari dari perjuangan mereka.

Persoalannya, adakah DAP terkesan dengan laungan sebegini atau mereka sebenarnya menjadi semakin kuat? Inilah persoalan yang jarang orang melayu berfikir kerana sudah dirasuk dengan semangat melayu Islam yang sudah ditanam jauh dari batas rasional.

Hari ini kita menyaksikan beberapa pemimpin PAS sudah memberikan isyarat bahawa parti itu rela menjadi pembangkang buat selama-lamanya. UMNO pula semakin hari semakin karam tanpa kemudi yang meyakinkan. Segala skandal mereka selama ini sudah berada dalam kocek Tun Mahathir dan menanti masa untuk dilondehkan satu persatu. Umumnya, UMNO sudah tiada harapan lagi untuk bangkit dalam masa terdekat.

Saya suka mengimbau sejarah 2008 ketika mana Pakatan Rakyat pada masa itu berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor. Ramai orang melayu di Selangor merasakan kerajaan itu tidak mampu bertahan lama. Lalu mereka terus berpaut dengan UMNO di Selangor. Akhirnya apa jadi? 3 penggal kekalahan akhirnya UMNO hampir pupus di Selangor.

Loading...

Segala sejarah ini saya titipkan agar orang melayu Islam mesti bijak dalam politik mereka. Dalam PH sekarang ada parti yang mampu mewakili suara melayu dan Islam. Ia perlu diperkuatkan dengan sokongan orang melayu. Lupakanlah UMNO dan PAS kerana jika bersama keduanya orang melayu kekal sebagai pembangkang yang kuat dengan semangat dan emosi tetapi tidak mempunyai kuasa.

Jika orang melayu tidak beranjak segera cara berfikir mereka, maka jangan salahkan DAP yang akan kekal kuat dan menguasai kerajaan. Semuanya kerana melayu malas berfikir dan mudah termakan dengan permainan emosi yang dimainkan oleh PAS dan UMNO.

  • Nukilan A. Rahman Abdullah buat tatapan semua