2 Warga Sabah kemuka saman mahu Peguam Negara dakwa Presiden Pas

2 Warga Sabah kemuka saman mahu Peguam Negara dakwa Presiden Pas

Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes pada 23 Jan susulan saman yang difailkan oleh dua warga Sabah yang mahu Peguam Negara mendakwa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kerana didakwa membuat kenyataan hasutan terhadap orang Kristian.

Peguam R Kengadharan, yang tampil mewakili Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian, berkata pendaftar mahkamah memaklumkan tarikh itu minggu lepas.

Peguam itu juga berkata beliau sudah menghantar salinan surat kausa ke pejabat Hadi di Marang, Terengganu.

Terdahulu, peguam itu berkata surat kausa dihantar ke ibu pejabat PAS dan Peguam Negara pada 14 Dis, memandangkan litigasi ini berkepentingan awam.

Maklin, 48, dan Lawrence, 64, mahu mahkamah mengisytiharkan Hadi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Hasutan dan juga tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Dalam saman pemula itu, mereka mendakwa Hadi membuat kenyataan hasutan dalam akhbar Harakah pada 18 Jan 2016 terhadap orang Kristian dan/atau mubaligh Kristian.

“Sudah lebih empat tahun sejak defendan (Hadi) mengeluarkan kenyataan itu tetapi tidak ada pendakwaan terhadapnya,” kata mereka.

Dalam afidavit menyokong saman itu, mereka juga berkata kenyataan Hadi juga disiarkan semula dalam FMT pada hari yang sama.

“Kami dengan hormat percaya defendan membuat kenyataan yang tidak berasas dan memburukkan orang Kristian dan/atau mubaligh Kristian,” tambah mereka.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/29/didakwa-burukkan-orang-kristian-urus-kes-saman-dakwa-hadi-ditetapkan-januari/