Konsert Pinkfish Countdown yang disambut dengan meriah sempena tahun baharu 2025 bertukar menjadi tragedi apabila empat nyawa terkorban dalam kejadian yang mengejutkan. I
nsiden ini berlaku pada malam Selasa di Bandar Sunway, Subang Jaya, dan disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan melalui satu kenyataan media pada hari Rabu.
Mangsa yang terlibat dalam kejadian tragis ini terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Mereka disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut Datuk Hussein, bedah siasat telah dilakukan pada 1 Januari, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut.
Apa yang lebih menghairankan, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan luar pada tubuh mangsa, yang menyebabkan pihak polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai kematian mengejut.
Meskipun begitu, polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah atau keracunan yang mungkin terlibat. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan yang lebih mendalam mengenai kejadian ini.
Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden tersebut untuk tampil dan membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sjn Mohd Ridzal Puat, di talian 03-56382122 atau melalui pusat kawalan daerah di 03-78627222.
BACA: Raih pendapatan luar biasa, syarikat perkapalan terkenal murah hati beri bonus 20 bulan