Seorang warga emas di Kepong terpaksa membungkus najisnya dalam surat khabar dan membuangnya keluar dari tingkap tingkat satu apartmennya.
Tindakan ini telah menyebabkan timbunan najis di lorong belakang blok pangsapuri tersebut sejak dua tahun lalu,
YAng mengakibatkan masalah bau dan kebersihan yang memberi kesan kepada penduduk lain.
Menurut laporan Sin Chew, lelaki warga emas itu mendedahkan bahawa dia terpaksa membuang najisnya keluar dari tingkap
kerana pangsapurinya tidak mempunyai bekalan air sejak dua tahun lalu, walaupun dia membayar bil air setiap bulan.
Penduduk setempat telah lama merungut tentang perbuatan warga emas itu, terutama penduduk di blok pangsapuri bertentangan yang sering melihat lelaki tersebut membuang najisnya ke luar tingkap sekali atau dua kali sehari.
Sebagai langkah penyelesaian, penduduk terpaksa menutup najis yang terkumpul di lorong belakang dengan kepingan surat khabar bagi mengelak kereta dan pejalan kaki daripada memijaknya.
Namun, setelah aduan mereka tidak mendapat sebarang tindakan dari persatuan penduduk dan polis, seorang aktivis masyarakat bernama Yu mengambil inisiatif untuk berdepan dengan warga emas tersebut. Melalui perbincangan, punca masalah bekalan air di rumahnya akhirnya terjawab.
Yu berjanji untuk membantu lelaki tua itu setelah mengetahui bahawa paip pangsapurinya serta meter airnya tidak dinaik taraf. Terdapat kemungkinan bahawa paip warga emas itu tersumbat akibat tindakan tidak bertanggungjawab penduduk dari unit di atasnya, yang boleh menyebabkan masalah bekalan air.
Diharapkan isu bekalan air warga emas itu dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan dirinya dan juga penduduk di sekelilingnya.
BACA: ‘Asal dapat duit saja, habis. Bagi RM500 RM1000 RM3000 pun sekejap je habis’