Dua beradik, Muhammad Khairul Huzaifi, 15, dan Muhammad Khairul Aiman, 13, terkejut dan teresak-esak apabila diberitahu bahawa ibu mereka,
Ezanie Eleena Mohamad Adnan, 30, yang telah lama menghilangkan diri, telah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Berita itu disampaikan oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara kepada Ezanie Eleena, setelah kisah pencarian ibu mereka tersebar di media sosial.
Khairul Huzaifi yang tinggal di Maahad Tahfiz al-Quran Nur Al-Majid di Machang, Kelantan, berkata dia dan adiknya sangat berharap dapat bertemu dengan ibu mereka yang hilang sejak lapan tahun lalu. ”
Kami selalu berharap dapat berjumpa dengan ibu, tetapi selepas mendapat berita dari guru agama kami, saya dan adik tidak dapat menahan perasaan. Kami sangat merindui ibu,” katanya dengan suara sebak.
Berita duka itu diterima mereka pada jam 8.15 malam apabila guru agama mereka, Mohd Faizal Ali, 40, menerima panggilan dari wanita tersebut.
Wanita itu memperkenalkan diri sebagai ibu saudara Ezanie Eleena dan memberitahu bahawa ibu mereka telah meninggal dunia kerana penyakit buah pinggang.
“Wanita itu turut mengirimkan video dan pautan berita mengenai pemergian Ezanie Eleena tiga tahun lalu sebagai bukti dan memberitahu bahawa pusara arwah ibu mereka terletak di Selangor,” ujar Mohd Faizal Ali.
Khairul Huzaifi juga mendedahkan bahawa ibu mereka yang berasal dari Bintulu, Sarawak, sebenarnya berhasrat untuk bertemu dengan mereka, namun ajal tidak mengizinkan. “Kami berharap dapat bertemu dengan ibu, tetapi kini semua harapan itu telah pun berkubur,” kata Khairul Huzaifi.
Sebelum itu, dua beradik ini tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Kampung Cermin, Kelantan. Mereka telah berusaha untuk mengesan ibu mereka yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu, terutamanya untuk membantu proses membuat MyKad untuk Khairul Huzaifi.
Dalam perkembangan lain, Khairul Huzaifi juga memaklumkan bahawa pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan telah menghubungi mereka dan meminta mereka hadir ke pejabat JPN di Tanah Merah untuk menyelesaikan urusan kad pengenalan.
BACA: Panas!! Ini respon Menteri Singapura tentang RCI Batu Puteh