2 adun pembangkang di Melaka bertelagah, Adun Sungai Udang dedah puncanya

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof secara terbuka membidas Bersatu Tangga Batu yang didakwa meminggirkan dan cuba menyekatnya kerana bimbang beliau akan merebut jawatan.

Wakil rakyat penggal pertama Perikatan Nasional (PN) itu turut membidas Timbalan Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub kerana seolah-olah ‘merestui’ tindakan ke atasnya.

Bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu untuk bertanding PRN Melaka dua tahun lalu itu mengakui terkilan dipinggirkan Bersatu Tangga Batu walaupun telah berjaya membawa kemenangan.

2 adun pembangkang di Melaka bertelagah, Adun Sungai Udang dedah puncanya

Jelasnya, perkara berkenaan dapat dilihat apabila beliau tidak diundang menghadiri persidangan bahagian itu pada Sabtu lalu.

“Mereka memang tidak mahu menerima saya sebagai wakil rakyat…takut kerana ada sikap dan pemikiran sempit.

“Ada di kalangan ahli parti ini apabila ahli baharu masuk (mereka) takut kehilangan jawatan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menegur Yadzil yang juga ketua pembangkang dengan menegaskan mereka sebagai dua wakil PN di DUN Melaka seharusnya bekerjasama bukan menjatuhkan satu sama lain.

“Saya marah dan terkilan dengan apa yang dia (Yadzil) buat, saya banyak kali nasihat sebagai dua Adun kita bekerja bersama-sama dan jangan ada sikap takut saya jatuhkan awak, takut saya lebih baik daripada awak.

“Tetapi itu sebenarnya yang dia lakukan, saya banyak kali pesan dekat dia kita (perlu) bekerjasama berganding untuk rampas negeri Melaka ini,” katanya.

Aleef berkata walaupun dilayan sedemikian rupa, beliau tidak akan meninggalkan parti kerana menghargai jasa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin yang memberikannya peluang bertanding pada PRN lalu.

Sementara itu, Yadzil ketika dihubungi berkata beliau mahu memeriksa dahulu dakwaan Aleef ‘dipinggirkan’ kerana enggan mendengar cerita dari sebelah pihak sahaja.

Mengulas dakwaan terhadapnya dan situasi dalam Bersatu Melaka, Yadzil menganggapnya sebagai asam garam dalam politik.

“Setakat ni (Bersatu Melaka) ok sahaja, politik biasalah orang kata fitnah sana sini…nak pecah belah memang ada.

“Tetapi setakat ini tak ada masalah apa-apa, macam laki bini bergaduh sikit-sikit dalam keluarga, lepas itu baik semula,” katanya yang turut menjelaskan jemputan persidangan hanya diberi kepada perwakilan.

BACA: Kegiatan gelap pengacara lelaki suka berpantun terdedah, jalani hidup songsang