“14 tahun aku berkorban demi tanggung keluarga, tapi suami hanya ingat jasa penyondol”

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Hati wanita manakah yang tidak hancur apabila si suami langsung tidak menghargai pengorbanan isterinya malah lebih mengenang jasa orang luar baru dikenalinya.

Lebih memburukkan keadaan, ‘jasa’ yang dicurahkan oleh orang luar terbabit dilakukan dengan niat tersendiri iaitu mahu berkongsi kasih suami kepada wanita berkenaan.

Mahu kisah rumah tangganya itu dijadikan pengajaran, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Yaya yang nekad mencari kebahagiaannya sendiri bersama anak-anak.

“Saya berumur di awal 40-an. Kerja dalam bidang profesional tetapi tak suka dengan kerjaya sendiri.

Suami tua beberapa tahun daripada saya dan kami sudah berkahwin selama 14 tahun. Selepas sebulan saya berkahwin, suami berhenti kerja. Sedangkan ketika itu, saya baru disahkan mengandung anak pertama.

“14 tahun aku berkorban demi tanggung keluarga, tapi suami hanya ingat jasa penyondol”

“Sejak itu, suami mengambil alih perniagaan sampingan yang saya usahakan secara kecil-kecilan di rumah. Sebabnya dia nampak perniagaan itu macam boleh pergi jauh katanya.

Padahal saya buat dahulu untuk dapatkan pendapatan sampingan sahaja. Dipendekkan cerita, perniagaan itu tidak ke mana dan lingkup.

“Selepas lebih kurang lima tahun suami tak bekerja, mak mentua nak beri pinjam duit untuk dia buat modal berniaga. Tetapi dia tanya saya pula perniagaan apa yang nak dibuka. Akhirnya dia gunakan duit ibunya untuk buka perniagaan yang saya impikan. Sudahnya saya yang kena buat dua kerja di dalam satu masa.

“Kerja pejabat kena buat, perniagaan juga saya uruskan. Alhamdulillah, dalam masa 10 tahun ini, kedua-duanya masih kekal. Tetapi bukan mudah. Masa buka perniagaan 10 tahun lalu, saya keluarkan duit untuk belikan suami van. Dia guna untuk mulakan perniagaan perkhidmatan van sekolah. Jadilah, lepas duit rokok dia.

“Hasil daripada van sekolah itu, bayaran dalam RM2000 dimasukkan ke akaun saya setiap bulan. Saya bayar sewa rumah RM850 dan selebihnya berikan semula kepada suami. Sebabnya dia kata tak cukup nak tanggung perbelanjaan perniagaan macam minyak dan sebagainya. Perbelanjaan rumah pula semua saya tanggung.

“Saya memang tak rela, tetapi tiada pilihan. Sepanjang 14 tahun kami menikah, saya menanggung 99 peratus keperluan keluarga dan tiga orang anak. Memang selalulah tertekan sebab ini bukan kerelaan saya. Suami pula jenis kasar. Pelbagai perkataan keluar untuk memaki saya. Perempuan kafir pun dia pernah panggil saya.

“Suami juga ringan tangan dengan anak-anak. Pernah sekali saya buat laporan polis sebab dia pukul anak kami yang berumur tujuh tahun. Sebab budak itu makan dahulu tanpa tunggu dia. Macam itulah perwatakan dia. Konon kena beradablah dan semua orang di dalam rumah ini kena tunjuk hormat kepada dia.

“Pada suami, dia sudah tunaikan tanggungjawab mencari nafkah sebab keluar bawa van. Katanya saya kena bersyukur sebab dalam agama Islam, suami hanya perlu beri ikut kemampuan sahaja. Jadi saya perlu menerima setakat mana kemampuan dia. Tak guna saya nak bertekak, sebab semua dia yang betul.

“Nak dijadikan cerita, baru-baru ini suami beritahu syarikat e-hailing adalah sewakan kenderaan secara mingguan kepada pemandu. Jadi boleh dia buat e-hailing sebagai usaha nak tambah pendapatan. Gembiralah saya tahu syarikat juga sewakan kereta macam konsep teksi. Sebab sejujurnya, saya sudah keletihan.

“Keperluan anak-anak semakin bertambah sebab mereka semakin membesar. Kalau betul-betul boleh tambah pendapatan, memang saya gembira sangat. Satu hari itu, suami bawa balik kereta Perodua Myvi warna putih. Sejak itu anak-anak mengadulah yang bapa mereka selalu buat panggilan video dengan perempuan.

“Ketika itu, saya sibuk di luar. Saya gelarkan perempuan itu sebagai Cikgu Kangkung. Rupanya Cikgu Kangkung ini selalu minta daripada suami nak bercakap dengan anak sekali. Malahan Cikgu Kangkung juga pernah menonton perlawanan bola sepak anak lelaki lelaki kami ketika saya tak dapat pergi kerana menghadiri kelas.

“Kebetulan saya sekarang sambung belajar separuh masa. Saya dengar sahaja anak mengadu, tetapi tak buat tindakan. Diamkan dahulu sebab saya tak mahulah serkap jarang. Mungkin cikgu sekolah anak sahaja. Selepas dua minggu suami dapat kereta baharu dari syarikat e-hailing, saya siasatlah nombor pendaftaran (plat).

“Ternyata kereta itu sebenarnya kepunyaan Cikgu Kangkung. Konon disewa syarikat itu alasan untuk tipu saya sahaja. Saya tanya suami, rupanya Cikgu Kangkung yang belikan dia kereta. Nak bantu carikan pendapatan sampingan. Saya teruslah telefon perempuan itu dan dia mengaku sudah bersedia jadi isteri kedua.

“Baru kenal beberapa bulan, tetapi hubungan mereka sangat serius sampai sanggup belikan suami saya kereta. Saya beritahulah perempuan itu yang suami tak mampu untuk poligami. Respon mereka sama. Sebab itulah buat e-hailing nak cari duit lebih. Tak boleh diterima langsung alasan mereka berdua itu.

“Selama 14 tahun ini saya mengeluh sebab perlu menyara keluarga. Tetapi sekarang barulah suami nak cari pendapatan sampingan. Rupanya alasan nak poligami. Bukan sebab nak bantu saya. Cikgu Kangkung juga sibuklah hantarkan kepada saya video-video ceramah di aplikasi Whatsapp berkenaan hal poligami.

“Hantar juga perkongsian lelaki yang tidak berpendapatan tinggi (B40) tetapi masih boleh poligami. Siap hantar pesanan yang berbunyi, ‘Dari segi hukum, boleh sahaja nak poligami. Sebab Nabi pun berpoligami sedangkan dapurnya pernah tak berasap selama tiga bulan berdasarkan satu hadith riwayat Aisyah R.A’.

“Biasalah orang Melayu, kalau mengenai poligami semuanya mahu ikut nabi. Tetapi hal lain, tidak ikut Nabi. Sadis. Saya berikanlah kata putus kepada suami, tinggalkan perempuan itu atau kami bercerai. Dia tak boleh buat keputusan sebab nak dua-dua. Dia memang nekad mahu poligami. Sangat tinggi ya cita-citanya.

“Suami siap ugut saya macam-macam kalau berani failkan perceraian. Katanya dia tak akan ‘meredai’ saya sebagai isteri daripada awal kahwin sampai sekarang kalau kami bercerai. Suami juga ugut nak kacau hidup saya kalau menganggu hidup Cikgu Kangkung. Alahai, tak sangka sedih betul nasib saya.

“Jadi, saya anggap inilah jalan keluar yang Allah nak berikan. Saya akan gerak dan failkan perceraian secepat mungkin. Pergi matilah dengan segala ugutan suami itu. Selama ini saya anggap hanya diri inilah perempuan yang paling bodoh, sebab kekal bersabar dengan suami saya. Tetapi Alhamdulillah.

“Selepas munculnya Cikgu Kangkung yang belikan suami kereta walau hanya kenal beberapa bulan, terbuktilah bukan saya yang paling bodoh. Tipulah cakap saya tak risau nak pegang gelaran ibu tunggal dengan anak tiga orang. Tetapi kalau difikirkan, selama ini juga saya hidup sudah macam ibu tunggal.

“Kepada Cikgu Kangkung yang konon menyokong poligami, tetapi jalinkan hubungan senyap-senyap. Cara nak mulakan sudah salah. Bukan ke kalau nak jadi cikgu, kena bijak dahulu?

Tetapi kenapa kau macam tak berapa bijak? Dengar sini perempuan, kau jangan berani nak buat panggilan video dengan anak-anak aku.

“Jangan datang dekat anak-anak aku. Kau bukanlah siapa-siapa. Pembaca, doakan saya terus kuat. Saya menyesal sangat sebab lambat ambil tindakan.

Sekarang umur sudah 40-an, barulah nak tamatkan penderitaan yang panjang ini. Ambil pengajaran dari kisah saya ini.” Kongsi Yaya (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: Rupanya ini punca BNM denda Maybank RM4.32 juta, CIMB RM760,000