Tiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Lahad Datu hari ini atas tuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lepas.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kesemua remaja yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian,
Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lepas, kira-kira dari pukul 9 malam hingga 7.38 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih dari 12 sebatan.
Prosiding berlangsung secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada jam 9 pagi, dan hanya keluarga tertuduh yang dibenarkan berada di bilik bicara kerana ia melibatkan kes juvana.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, manakala dua tertuduh diwakili oleh peguam Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki. Sebaliknya, 11 tertuduh lain tidak diwakili oleh peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan.