13 Oktober : Bersatu atau Umno akan mati dulu?

13 Oktober : Bersatu atau Umno akan mati dulu?

Hari ini adalah kemuncak debaran penantian rakyat Malaysia sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar berjaya menuju ke puncak kuasa atau mengulangi amalan skrip gimik politik lama.

Tumpuan penduduk dari Johor, Kedah hingga ke Sabah pastinya terarah kepada keputusan hasil pertemuan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Di sebalik perasaan meluat rakyat terhadap amalan percaturan elit politik masih berleluasa pada saat gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) semakin mengganas, mereka sebenarnya masih berteka-teki sama ada hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal berakhir atau sebaliknya, hanya selepas lebih tujuh bulan mentadbir negara.

Menariknya, kemaraan Anwar ke Istana Negara itu turut dikaitkan dengan dakwaan sabotaj apabila polis difahamkan bakal memanggil 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk disoal siasat pada pagi hari yang sama.

Bahkan, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bermula 14 Oktober ini turut dikaitkan kononnya sebagai sebahagian usaha menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Selain fokus rakyat terhadap kemungkinan penubuhan kerajaan baharu, golongan pengundi terutama masyarakat Melayu juga ingin melihat sama ada kesemua 39 Ahli Parlimen UMNO benar-benar menolak sokongan kepada pemimpin itu atau sebaliknya.

Bermula dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar diikuti dengan penafian mereka yang terkait polemik itu, ‘Langkah Anwar’ secara tidak langsung dilihat semakin menghakis defisit kepercayaan akar umbi dan rakyat terhadap parti itu.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105027/ANALISIS-SEMASA/Ke-mana-hala-tuju-UMNO-selepas-13-Oktober

COMMENTS