10 ribu kes hilang kerja setiap bulan

10 ribu kes hilang kerja setiap bulan

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendesak Putrajaya meluaskan program subsidi upah (PSU) kepada pekerja berpendapatan lebih RM4,000 sebulan bagi menyelamatkan pekerjaan profesional.

Ia susulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan kategori profesional mengalami kehilangan pekerjaan paling banyak tahun ini, dengan 23,022 kes dilaporkan.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, ini kerana PSU dan program pengekalan pekerjaan (ERP) yang sekarang dihentikan hanya diberikan kepada pekerja berpendapatan RM4,000 dan ke bawah setiap bulan.

Syarat lain bagi memohon PSU dan ERP adalah sesebuah syarikat tidak dibenarkan memberhentikan pekerja bawah skim berkenaan supaya dapat menerima subsidi itu.

Beliau memberitahu FMT, syarikat masih perlu mencari jalan untuk mengurangkan kos disebabkan impak pandemik terhadap perniagaan, lebih lagi jika tiada sebarang insentif atau sekatan daripada berbuat demikian.

“Kebanyakan syarikat mahu mengurangkan kos, bukan untuk meningkatkan keuntungan tetapi cuma bertahan dalam tempoh mencabar ini.

“Sebab itu kami sebelum ini mencadangkan had pekerja berpendapatan RM4,000 dan ke bawah dalam skim ERP dan PSU tidak boleh diteruskan. Ia patut diketepikan dan membuka kepada setiap pekerja.

“Pekerja berpendapatan lebih RM4,000 juga menyumbang kepada sistem insurans pekerjaan (SIP), tetapi ia nampak sedikit tidak adil bagi mereka dengan dikecualikan daripada skim berkenaan hanya kerana pendapatan melebihi RM4,000” katanya.

Beliau mengakui kebanyakan profesional Malaysia akan hilang pekerjaan dalam masa terdekat jika perkara itu tidak ditangani, walaupun ia juga bergantung kepada kemampuan syarikat mengatasi cabaran akibat kemerosotan ekonomi.

Shamsuddin berkata, negara dilihat agak baik dengan kadar pengangguran berkurang sehingga 4.7% pada Oktober walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang menjejaskan perniagaan.

“Keyakinan pengguna masih sangat rendah dan mereka tidak membelanjakan wang, sebaliknya akan menyimpan. Secara keseluruhannya ia mengurangkan penggunaan dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau mengulangi desakan terhadap Putrajaya supaya meluaskan skim PSU kepada pekerja berpendapatan lebih RM4,000 sebulan, menyatakan syarikat kecil dan besar berdepan situasi ekonomi yang sama dan memerlukan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan 89,596 kes kehilangan pekerjaan sehingga 22 Oktober, dengan purata hampir 10,000 kes setiap bulan.

Beliau memberitahu FMT, angka itu akan melebihi 100,000 menjelang hujung tahun jika trend ini berterusan dan 58% kehilangan pekerjaan dicatatkan di Lembah Klang.

“Dari segi pekerjaan, kategori profesional merupakan yang paling terkesan, dengan 23,022 (26%) kes dilaporkan, diikuti pekerjaan teknikal 17,240 (19%) kes dan jawatan pengurusan 11,762 (13%) kes,” kata Azman.

Berita penuh ; https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/31/mef-desak-putrajaya-selamatkan-pekerjaan-profesional/

COMMENTS